Bila engkau letih & hilang semangat,ALLAH tahu engkau telah mencuba sedaya upaya.Bila tangismu berpanjangan & hatimu duka,Allah telah mengira titis air matamu.Bila engkau rasa ketinggalan & masa meninggalkanmu,ALLAH tetap bersamamu,Bila engkau kebuntuan akal,maka ALLAH adalah penunjuk jalan....apabila engkau telah berazam, Maka bertawakallah kepada ALLAH

Tuesday

ARTIS SANTAU ARTIS

Dipetik dari Metro Ahad 18/1/2009

KUALA LUMPUR: Perang mulut di kalangan artis sehingga timbul persengketaan mungkin perkara biasa dalam industri hiburan, tetapi agak mengejutkan apabila ada segelintir yang bertindak keterlaluan, termasuk mengenakan santau, demi melunaskan dendam atau membunuh terus karier rakan seperjuangan mereka.

Berdasarkan ‘cakap-cakap di kalangan artis’, Metro Ahad berjaya mengesan enam artis yang mengakui pernah menjadi mangsa perbuatan khianat itu.

Biarpun difahamkan jumlah mereka sebenarnya lebih ramai, kebanyakannya keberatan bercerita lanjut dan mendedahkan identiti masing-masing kerana bimbang disalah tafsir oleh masyarakat. serta tidak mahu memburukkan lagi keadaan.

Berikut adalah pengakuan dan pengalaman enam artis terbabit, termasuk seorang penyanyi wanita yang enggan namanya disiarkan, kepada wartawan Metro Ahad, NAZARALI SAERIL dan ASMIZAN MOHD SAMIRAN.


ALMY NADIA AMINUDDIN SHAH, 23

PELAKON drama bersiri Dunia Baru di TV3 itu mengaku terkena buatan individu tertentu pada pertengahan tahun lalu, tidak lama selepas namanya dikenali ramai serta menerima banyak tawaran daripada pengarah.

Akibatnya, dia sering meracau dan tidak sedarkan diri, selain kariernya dalam lakonan hampir musnah.

“Saya terpaksa berehat berbulan-bulan lamanya akibat masalah santau itu. Sakit berkenaan kebiasaannya menyerang setiap kali waktu Maghrib dan ketika itu saya tidak sedar apa berlaku. Keluarga memaklumkan saya lebih banyak meracau serta mampu berbahasa asing.

“Ketika berubat di Pulau Pinang, lelaki yang merawat memaklumkan, saya terkena santau makanan. Katanya, saya terlalu baik dan menerima saja pemberian orang, menyebabkan ada yang busuk hati mengambil kesempatan atas perkara itu.

“Rezeki saya tertutup sepanjang tempoh berkenaan. Syukur semuanya kini berakhir,” katanya yang kini hangat bercinta dengan seorang pelakon baru lelaki.

ADAM AF2, 25

ARTIS kacak yang menjadi kegilaan remaja wanita ini berkata, kejadian menimpanya berlaku antara 2006 hingga 2007 apabila dia tiba-tiba berubah sikap menjadi pemalas, selain panas baran terhadap sesiapa saja.

Adam berkata, pada mulanya dia tidak tahu apa berlaku terhadapnya sehinggalah dimaklumkan oleh beberapa peminat serta ustaz mengenai santau yang dihantar kepadanya oleh seseorang yang turut terbabit dalam industri hiburan.

“Sepanjang tempoh kira-kira enam bulan, saya jadi pemalas untuk mengikuti pelbagai aktiviti promosi yang diaturkan untuk saya. Saya juga menolak banyak pertunjukan pentas. Dalam masa sama, saya sering bermain dengan perasaan hingga hampir jadi gila.

“Saya tidak sakit, tetapi kerap membuat alasan mengapa perlu hadir untuk promosi dan sebagainya. Akibatnya, pintu rezeki saya terjejas manakala peminat serta pihak media mula menjauhkan diri,” katanya.

Bagaimanapun, beberapa peminat prihatin yang bertemunya memaklumkan dia terkena buatan orang. Terkejut dengan perkara itu, Adam bertemu beberapa ustaz yang turut memaklumkan perkara sama.

Adam kemudian mula berubat dan bersyukur kini pulih sepenuhnya daripada bencana itu.

“Biar tuhan saja yang membalas dan tidak perlu saya mengikut langkah individu busuk hati terbabit,” katanya.

IFA RAZIAH, 33

ARTIS yang tidak lekang daripada kontroversi ini mendakwa pernah menjadi mangsa santau angin yang dipercayainya angkara seorang artis wanita yang cemburu dengan kejayaan dikecapinya.

“Saya mengalami muntah darah, sakit seluruh tubuh selain kadangkala seperti lumpuh untuk tempoh kira-kira sebulan, dan ketika itu saya sedar pasti ia punca buatan pihak tidak bertanggungjawab.

“Saya bertemu pengamal perubatan tradisional dan hasil daripada rawatan, keadaan saya kembali pulih. Berdasarkan maklumat diberi, ia angkara seorang rakan artis tetapi saya tidak membalas, sebaliknya mendiamkan perkara itu,” katanya yang mempunyai perniagaan sendiri.

Ketika rawatan, pengamal perubatan itu mengeluarkan miang rebung dan serpihan kaca daripada tubuhnya, selain memaklumkan santau terbabit disediakan bomoh Siam.

REDZUWAN ISMAIL (CHEF WAN), 49

TIDUR chef sensasi ini sering terganggu dengan siling kediamannya kedengaran seperti sesuatu merangkak, mencakar dan pelbagai lagi bunyi menyeramkan.

“Seluruh tubuh saya bengkak, gatal dan panas selama berminggu-minggu, manakala tapak kaki pula seolah-olah ditusuk jarum, menyebabkan kesakitan tidak terperi.

“Puas saya pergi bertemu doktor tetapi tiada kesan sebelum akhirnya saya berjumpa tiga ustaz yang memaklumkan saya terkena buatan orang. Individu terbabit dikatakan menghantar hantu raya bagi mengganggu hidup saya seharian,” kata chef berusia 49 tahun ini.

Menurut bapa kepada pelakon terkenal, Serina, itu situasi dialaminya memaksa dia berehat daripada dunia hiburan buat seketika sebelum pulih selepas berubat.

Chef Wan berkata, siling kediamannya berlubang ketika ustaz yang membantunya menangkap hantu yang kemudian dimasukkan ke dalam botol.


MOHD RAFIK ABDUL RAHMAN (PIAN CECUPAK), 39

ARTIS yang dicungkil bakatnya melalui program realiti TV ini mendakwa mengaku menerima pukulan perang santau daripada dua artis terkenal tanah air yang kini nama masing-masing ‘meletup’ di mata peminat.

“Ia berlaku untuk lebih setahun dan berdasarkan pengamal perubatan yang saya temui, ia membabitkan dua artis iaitu seorang wanita dan seorang lagi lelaki.

“Santau dihantar artis wanita terbabit menyebabkan saya kehilangan nafsu syahwat, manakala pinggang pula terasa sakit setiap masa. Artis lelaki itu pula mahu memastikan bidang nyanyian saya terkubur dengan menghantar santau, menyebabkan saya tidak mampu membuat persembahan pentas,” katanya.

Akibatnya, beliau terlantar sakit dan sukar melaksanakan tawaran persembahan diberi. Beliau bertemu doktor tetapi dimaklumkan tidak menghidap penyakit sebelum berjumpa beberapa pengamal perubatan tradisional sebelum pada pertemuan terakhir, semua santau terbabit dapat dikeluarkan.

“Bomoh terbabit mengeluarkan jarum berkarat dari bahagian pinggang saya yang dihantar oleh artis wanita itu. Dari tekak pula, dia membawa keluar daun pandan diikat seperti reben dan ia adalah perbuatan artis lelaki.

“Bomoh berkenaan turut berjaya mengeluarkan gumpalan rambut, kaca selain kahak, seolah-olah nanah. Saya cukup terseksa ketika menerima rawatannya, tetapi syukur kini semuanya berakhir,” katanya yang enggan membalas perbuatan terbabit.


PENYANYI WANITA BERUSIA 20-AN

PENYANYI ini berkata, kejadian menimpanya berlaku tahun lalu. Akibat kejadian itu, dia hilang suara secara tiba-tiba untuk tempoh beberapa bulan, selain mengalami pelbagai insiden pelik sehingga menjadi tidak keruan.

“Selepas mencuba pelbagai cara untuk merawat penyakit saya, alhamdulillah keadaan saya semakin pulih dan saya diberitahu, pihak yang mengenakan penyakit ke atas saya adalah orang yang saya kenali serta turut terbabit dalam dunia hiburan.

“Cukuplah setakat itu saja , saya tidak mahu bercerita lebih lanjut kerana tidak mahu memburukkan lagi keadaan. Lagipun, saya anggap ini masalah peribadi dan tidak mahu ia berpanjangan. Biar Tuhan saja yang menentukan segala-galanya,” katanya.


Sihir tidak mengenal mana-mana lapisan masyarakat....semua lapisan masyarakat nampaknya sudah terlibat. Yang menyihir guna bomoh dan yang disyaki kena sihir pun besar kemungkinan jumpa bomoh juga sebabnya perawat mereka boleh teka-teka atau telek-telek lagi siapa yang nak kenakan mangsa tu ...satu sikap yang amat bertentangan dengan kaedah rawatan islam.
 
JANNAH Copyright © 2009 Blogger Template Designed by Bie Blogger Template